Author: Nur Firdaus
Sebabkan ada seorang junior aku ni masih belum boleh "Move On" dengan buah tarap, jadi untuk kalini aku nak hadiahkan kisah Nasi Linopot pula sebagai penawar. Harap-harap mujarablah perkongsian ni. π
Linopot dalam bahasa Dusun membawa maksud bungkusan yang berasal daripada kata dasar "lopot" iaitu bungkus.
Kalau anda perasan, Nasi Linopot ni ada macam-macam warna. Si pembuat letak warna ke?
Jawapannya, tidak.
Perkara ini berlaku ada dua sebab iaitu pertama, dari segi tradisi, beras yang digunakan ialah beras padi huma/beras bukit. Beras ini selalunya ada yang berwarna merah, ungu dan perang.
Kedua kerana nasi tersebut ada yang sudah digaul sekali dengan keladi (gu'ol) , labu manis (tawadak) atau ubi kayu (mundok). Jadi, tidak hairan kadangkala kita disajikan dengan pelbagai variasi warna Nasi Linopot ini.
Kena ingat, tak semestinya Linopot ini perlu digaul sekali dengan keladi misalnya, sekadar menggunakan padi huma tanpa sebarang campuran pun sudah dikira ok. Tapi lagi padu kalau dicampurlah π (orang kata, kalau aku tak tahu sebab tak pernah rasa)
Terdapat pelbagai jenis daun boleh digunakan untuk membungkus linopot antaranya ialah wonihan (daun wangi), punti (daun pisang), timadang ( tarap ) , kongkobung, kobu, telidus dan toropoi.
Pemilihan daun ini juga berkait rapat dengan jenis dan tujuan pembuatan nasi ini. Hal ini kerana setiap daun itu mempunyai aromanya yang tersendiri.
Misalnya, ada yang gemar menggunakan daun wonihan kerana daun ini besar, tidak mudah koyak dan mempunyai aroma yang harum.
Jika nasi lemak dibungkus sekali nasi dengan lauknya. Linopot ni tidak dibuat begitu. Hanya nasinya sahaja yang dibungkus.
Cumanya, Nasi Linopot ini tidak lengkap tanpa kombinasi lauk-lauk tradisional. Dan mengikut tradisi, kombinasi lauk tersebut perlulah dalam bilangan ganjil dan paling minima ialah 3 lauk.
Antara lauk-lauk tradisional yang popular dikaitkan dengan Nasi Linopot seperti Tuhau, bosou, taduk, jeruk bambangan dan ikan masin yang digoreng.
Sayangnya, aku tidak sempat menikmati Nasi Linopot ni semasa di Sabah. Cuma sempat juga merasa tarap walaupun sekali.
Mana tahu kalau jejakkan kaki semula ke Sabah, boleh aku mencuba nasi ini.
#uniknyamalaysia
Kredit gambar
πΈ Arkib Negeri Sabah
πΈ Rumah Pangi, Kadazandusun's Cultural Village






No comments:
Post a Comment