Author: Nur Firdaus
Bilakah pertama kali logo menyambut hari kemerdekaan diperkenalkan?
Buat pengetahuan semua, logo menyambut hari kemerdekaan pertama kali diperkenalkan pada tahun 1976 iaitu kira-kira 19 tahun selepas sambutan kemerdekaan diadakan.
Logo ini telah diperkenalkan oleh Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie yang juga merupakan Pengerusi Perayaan Hari Kebangsaan pada tahun tersebut.
Logo pertama ini bertemakan ketahanan rakyat dan direka oleh sekumpulan pensyarah dan penuntut Institut Teknologi Mara Shah Alam (kini namanya UiTM).
Setiap lambang atau simbol dalam logo itu membawa tafsiran dan maksud tersendiri. Misalnya dalam logo ketahanan rakyat,
1) Lima lembaga manusia dalam logo tersebut melambangkan lapisan rakyat yang berganding bahu membentuk satu tujuan dan cita-cita kemakmuran dan keselamatan negara.
2) Perkataan “KETAHANAN RAKYAT” yang juga merupakan tema logo tahun pertama itu ditulis melengkung di atas menjadikan reka bentuk ini bulat dan bertangkup melambangkan keteguhan negara.
3) Reka bentuk ini telah dibentuk berupa rebana ubi yang menggambarkan satu masyarakat yang berkebudayaan.
4) Bulatan pula sebagai membendung perkataan ‘31 Ogos’ sebagai Hari Kebangsaan.
5) Lima lembaga manusia juga mencerminkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi landasan kepada matlamat negara.
6) Warna yang digunakan pula ialah warna-warna daripada bendera Malaysia.
Kejayaan penciptaan logo pertama ini dalam menarik minat semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat Malaysia menjadikan logo ini dibuat sistem pertandingan sebelum menjadi logo rasmi hari kemerdekaan. Perkara ini telah disarankan oleh Tan Sri Sanusi Junid selaku Pengerusi Hari Kebangsaan pada tahun 1988.
Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mendapatkan ciptaan logo yang lebih bermutu selain menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia bergiat secara aktif dalam sambutan hari Kemerdekaan.
Hingga kini sistem logo untuk sambutan hari kemerdekaan diteruskan. Tahun ini, logo negara bertemakan Malaysia Prihatin.
#uniknyamalaysia
Kredit Gambar :
๐ธ Malaysiacoin

No comments:
Post a Comment